Saturday, March 5, 2011

SITUASI 40 : DI DALAM BAS DAN POSTER

Akhirnya, saya dapat menyiapkan tugasan ini dengan meyediakan 40 situasi untuk tatapan Dr. Siti Saniah dan untuk pembaca semua. Topik yang menjadi permasalahan saya pada kali ini ialah pengucapan bahasa oleh seorang pemandu bas yang selalu kami naiki untuk ke kampus dan juga Proton City. Pemandu bas ini selalunya berkelakuan baik dan kata-kata juga kemas semasa dia mengutarakan sesuatu. Pada hari Khamis yang lalu, saya terkejut apabila pemandu bas itu melontarkan perkataan yang agak kasar kasar kepada pemandu kereta di hadapannya. Dialognya seperti di bawah :

Pemandu bas : Bengong!!! Lambat!!! Tepilah sikit!!! Adoi!!!

Semasa turun dari bas, saya terlihat ada poster mengenai masjlis yang akan diadakan di UPSI dan penggunaan waktu di situ adalah salah. Pernahkah anda mendengar pengacara majlis menyebut ‘selamat petang’ kepada tetamu yang hadir, tetapi pada ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 8 malam. Mulanya, saya sangat pelik dengan keadaan seperti ini, tetapi apabila dua, tiga kali berlaku keadaan sedemikian, saya membuat kesimpulan bahawa pelajar di UPSI ini sudah terikut-ikut dengan budaya Barat. Lihat contoh pada gamabr di bawah ini, pukul 11 malam masih dikatakan pulul 11 petang. Hal ini juga berkaitan dengan ayat-ayat yang dikeluarkan oleh pengacara majlis semasa sapaan salam dan sebagainya.



Lihat anak panah yang berwarna kuning itu.

KOMEN CIKGU ENIE :

(Penggunaan waktu)

Sistem di Malaysia, pukul 8 menunjukkan waktu malam bukannya petang. Jangan mudah terpengaruh dengan budaya Barat yang menggunakan sistem waktu ‘a.m’ dan juga ‘p.m’.

KOMEN CIKGU ENIE :

(Pemandu bas)

Pemandu bas itu mungkin berada dalam keadaan marah dan tidak mampu untuk mengawal perasaannya. Mungkin juga kerana faktor cuaca yang sangat terik pada waktu itu, maklumlah tengahari. Penggunaan bahasa pemandu bas itu memang kasar, dia suaranya yang lantang menunjukkan lagi kemarahannya. Sepatutnya, dia perlulah bersabar kerana sabar itu sebahagian daripada iman. Walaupun kita marah sekalipun, adab dan sopan serta kesantunan dalam berbahasa adalah penting. Kata-kata terakhir dari saya, budi bahasa, budaya kita dan bahasa cerminan bangsa. Sekian, terima kasih.

Friday, March 4, 2011

SITUASI 39 : 'AYAQ' DAN 'AYAK'

Baru sebentar tadi saya turun ke bawah untuk melihat-lihat jualan di Pesta Buku dan Informasi yang ada di Kolej Harun Aminurrashid (KHAR). Apa yang menjadikan perbualan kami ialah, nama sahaja Pesta Buku dan Informasi, tetapi barang-barang yang banyak dijual adalah baju-baju dan tudung-tudung. Jualan bukunya hanya terdapat beberapa gerai sahaja. Itu sudah menjadi satu hal, hal yang keduanya pula mengenai dialek utara yang digunakan oleh peniaga minuman untuk menarik pelanggannya. Perhatikan dialog di bawah :

Peniaga : Dik...Beli...Beli...Ayaq...Ayaq...
Pembeli : Ayak? Ayak tepung ke? (sambil ketawa)


Ayaq (dialek utara yang bermaksud air)

Ayak (sejenis alat untuk menapis atau mengayak tepung)

KOMEN CIKGU ENIE :

Penggunaan dialek kadang kala mempunyai kesamaan bunyi dengan bahasa Melayu. Penutur dialek seharusnya berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata. Takut-takut kalau pembeli salah memahami maksud penjual. Tetapi dalam konteks ini, mungkin mudah difahami kerana situasi yang mudah iaitu berada di gerai minuman. Justeru, sudah tentulah, peniaga itu menjual air, bukannya ayak tepung.


Thursday, March 3, 2011

SITUASI 38 : DATARAN BATU PAHAT


Batu Pahat


Saleem

Penyanyi Saleem??? Pasti semua orang kenal dengan penyanyi ini bukan??? Ceritanya bermula begini, pada malam itu saya dan keluarga pergi ke Dataran Batu Pahat untuk melihat persembahan Saleem sempena hari membayar saman di daerah saya. Perkara yang saya ingin kongsikan bersama ini ialah mengenai pengacara majlisnya yang bertutur menggunakan bahasa Melayu standard. Pasangan pengacara majlis itu terdiri daripada anggota polis yang bertugas pada malam itu.


KOMEN CIKGU ENIE :

Saya tidak menyangka seorang anggota polis mampu menggunakan bahasa Melayu yang baik tanpa sebarang penggunaan bahasa rojak yang mampu merosakkan majlis formal seperti itu. Kadang kala, sebutan pasangan pengacara majlis itu agak sedikit baku membuatkan saya begitu teruja untuk mendengarnya dengan lebih lanjut. Saya juga mendengar orang-orang di sekeliling bercakap-cakap mengenai penggunaan sebutan bahasa mereka. Bagi saya, ini adalah satu perkara yang baik dan perlu diteruskan untuk kita menyebut sesuatu perkataan itu dengan betul.


Wednesday, March 2, 2011

SITUASI 37 : MARI BELAJAR BAHASA JAWA SIRI 4

Apa khabar semua? Hari ini saya ingin meneruskan perkongsian maklumat yang saya ada mengenai bahasa Jawa. Pembelajaran kita pada hari ini adalah mengenai fungsi-fungsi “Kata Penegas” di dalam bahasa Jawa. Kata penegas yang terdapat di dalam bahasa Jawa ialah ‘toh’ dan ‘kok’ dan kebiasaannya ‘kok’ lebih gemar digunakan dalam perbualan seharian.

Kata Penegas

Contoh

1. Toh (kah)

Sopo-toh (siapakah)

opo-toh (apakah)


2. Kok (alah/lah)

Kok-lali (lupalah)

Kok-lanang (lelakilah)


KOMEN CIKGU ENIE :

Kata penegas ini kadang kala disebut oleh penutur di Johor. Penyerapan perkataan ini sudah menular jauh di dalam bahasa Melayu. Kebiasaannya, perkataan ini akan terkeluar jika komunikasi yang berlaku secara tidak formal.


Tuesday, March 1, 2011

SITUASI 36 : "WI-FI"




KOMEN CIKGU ENIE :

Perhatikan gambar di atas. Ejaan yang digunakan adalah salah. Ejaan 'wi-fy' sepatutnya ialah 'wi-fi'. Walaupun ingin menggunakan bahasa Inggeris, faktor ejaan perlu dititikberatkan supaya mata pengunjung yang datang tidak serabut melihat ejaannya yang salah. 'Wi-fi' merupakan singkatan daripada perkataan 'Wireless Fidelity' yang bermaksud satu teknologi akses Internet tanpa wayar. Pada hari ini, perkhidmatan-perkhidmatan seperti ini banyak terdapat di kompleks membeli belah, di kedai makan dan sebagainya. Perlu ingat di sini bahawa ejaan adalah sangat penting dalam sesuatu iklan dan paparan umum. Jika mata anda memang peka, terdapat satu lagi kesalahan ejaan iaitu pada perkataan 'disini'. Memang sudah terang lagi bersuluh, perkataan 'disini' sepatutnya dieja 'di sini' kerana apabila kata sendi 'di-' menerima kata tunjuk tempat, 'sini' perkataan itu perlu dieja secara terpisah. Lihatlah, mereka menggantung iklan, tetapi bahasa yang digunakan terdapat banyak kesalahan dari sudut tatabahasa.


Monday, February 28, 2011

SITUASI 35 : LIRIK LAGU DALAM DIALEK DAERAH

Pada hari ini, di dalam kelas Sosiolinguistik Melayu, Dr. Saniah telah mengajar subtopik dialek iaitu dialek daerah. Beliau menunjukkan beberapa buah lagu yang liriknya di dalam dialek daerah. Perhatikan lirik-lirik lagu di bawah.

DIALEK KELANTAN
LIRIK LAGU "ANAK TUPAI"

Ado sekor anok tupai atah julai mokte
Kudung ekor perut lapar jalan cari makan

Kejadian tuhan dipanggil nama tupai
Asalnya dale hutan sejenis mamalia

Kalu pasal jakit kok dehe dialah yg paling pandai
Jatuh jare jare kerana dia tak sobar

Pandai pandai tupai melompat jatuh tanah jugok
Tak wi gambar ore jahat jale telajok mangok

Ore jame ritu pakat hambat tupai
Bimbe ko woh kayu takuk tokdan besar

Nyor derian duku kalu dan nye kerit tupai
Pendek tahun tu nyor derian takdan nak jual

Ore sekepung tupai sekor berambat hari hari
Nya pakat likung nya pakat pekong tupai takleh lagi

Sakat bedil ado tupai habih mati
Hok ni lah saya raso kita sangat rugi

Kita manusio tinggi mana pun kita ngaji
Nak wat tupai sekor tentu sekali nya tak jadi

Loni kapung atau bandar jare buleh tgk
Bapok tupai ibu tupai jale bawak anok

Rasa kesian sungguh tgk sekor ke anok tupai
Kerana telajok kuruh sapa tokleh nak niti pagar

Bulu bulu pun habih luruh air mato bederai derai
Mari dale baruh bekali kena racun tebaka

Ado sekor anok tupai atah julai mokte
Kudung ekor perut lapar jalan cari makan


DIALEK NEGERI SEMBILAN
LIRIK LAGU "APO KONO EH JANG"

( P: )
Jang oh Jang
Mano pulak poi eh budak bertuah ni
Sonyap yo...
Siaplah jang oi...
Kobau tu tak boghi makan lai

( L: )
Batu kikir jambatan bosi
Gulai udang sebelango
Cubo omak fikir dalam hati
Ayo ni bujang sudah lamo aih

( P: )
Apo kono eh jang kau monong ajo
Orang ke bulan ekau di mano
Muko berpoluh apo teghaso
Carian ubek penawa duko

( P: )
Poilah mandi hari dah tinggi
Jangan temonung menoman tanggo
Ke sawah kito menuai padi
Apo dikonang pekaro yang sudah

( P: )
Si milah kau gilokan
Orang dah masuk meminang
Mano den lotak muko
Kondak kau jang diambik orang
Biar omak cari an lain
Ompuk orang jangan diidam

( P: )
Ha... tu lah, dulu lai den koba kan
Kojo jang... kojo.
Ni.. ke kobun maleh
Ke sawah liat pulak tu

( L: )
Ah.. Omak ni..
Sekolah tinggi tinggi takkan ke sawah do
Buek malu yo...

( P: )
Nak kan anak orang tak payah beduit
Apolah nak jadi kau ni jang oi hai...

( L: )
Abih macano mak
Badan seh ni nak domam yo ghaso eh

( P: )
Dah den koba an dulu kumpo kan duit
Pinanglah copek ini kau tangguh an
Ke sawah kota mengumpo belanjo
Bekonan den si milah buek menantu

( P: )
Apo lai kau sosakan
Menghaung tak ado guno
Milah kawin minggu dopan
Melopong kau jang putih mato
Jangan lai dikonang konang
Asik dikonang merano badan

( L: )
Bekocak air di boting
Limau manih betaruk mudo
Bio becacak koghih dan lombing
Putih kuning den tarik juo

( P: )
Kau nak apo an milah tu pulak
Jangan jang, malu omak
Kito yang susah nanti

( L: )
Seh tak kiro
Seh nak an jugo milah tu mak
Apo nak jadi, jadilah

( P: )
Dah di haruk setan ko budak ni
Dunio pun tak nampak layi...

( L: )
Ke jelobak ke jelobu
Tuai padi tigo tangkai
Kato ombung den...
Kato ongah den...
Kato ocu den
Podih nyo hati menanggung malu
Tak mati badan menghasai... Aih

( P: )
Apo kono eh jang...

KOMEN CIKGU ENIE :

Penggunaan dialek begitu meluas sekali di dalam daerah-daerah dan negeri-negeri tertentu sehinggakan pengaruhnya cukup besar dalam bidang nyanyian. Kita juga terhibur dengan adanya lagu-lagu seperti di atas ni. Selain itu, terdapat juga lagu lain seperti 'Blues Ganu Kita' dan juga sebagainya.

Saturday, February 26, 2011

SITUASI 34 : THE STORE, BATU PAHAT, JOHOR


Mungkin kita tidak sedar perkataan yang keluar daripada mulut kita ini kadang-kadang kurang ajar, kadang-kadang menyakitkan hati orang dan juga tersalah mengeluarkan kata-kata. Saya teringat akan peristiwa yang berlaku di The Store ketika saya ingin mencari serbuk koko untuk membuat kek. Perkataan yang dikeluarkan oleh penjaga kaunter di The Store itu seakan kurang ajar kepada pelanggan. Perhatikan dialog di bawah :

Penjaga kaunter : Hello kak… Tak Nampak ke kaunter kosong?Bayarlah kat sini.

Pelanggan : Owh...Ok…(dalam keadaan terpinga-pinga.)

KOMEN CIKGU ENIE :

Ayat yang dikeluarkan mungkin membuatkan pelanggan akan merasa kecil hati dan malu dengan keadaan sekeliling. Penjaga kaunter itu seolah-olah tiada perasaan kerana sungguh biadap memanggil pelanggan itu dengan sapaan ‘hello’. Kita perlulah menghormati sesama insan di dunia ini dan gunakanlah bahasa Melayu kita sebagai bahasa kebangsaan bukan bahasa yang dicampuradukkan.


Thursday, February 24, 2011

SITUASI 33 : BAHASA MELAYU TINGGI



Pada minggu lepas saya sempat menghadiri seminar “Bahasa Melayu Tinggi” di Auditorium,UPSI dan pensyarahnya adalah pensyarah saya sendiri iaitu Profesor Emeritus Abdullah Hassan. Ceramahnya adalah berkisah mengenai penggunaan Bahasa Melayu Tinggi dalam kalangan kita semua. Perkara yang telah menarik perhatian saya apabila beliau menceritakan kisah beliau semasa beliau ingin membeli makanan segera McDonald. Seorang pekerja Bangladesh memanggil beliau dengan gelaran ‘abang’. Mungkin ada segelintir orang yang tidak kisah dengan sistem panggilan ini, tetapi beliau sangat menitikberatkan hal ini dan telah menegur pekerja itu, “sejak bila aku jadi abanga kau” kata Prof. Abdullah kepada pekerja itu.

KOMEN CIKGU ENIE :

Sebenarnya, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memanggil seseorang itu dengan gelaran ‘abang’, ‘kakak’, ‘dik’ dan sebagainya. Sekiranya kita memulakan perbualan dengan gelaran seperti itu kepada pekerja Indonesia atau pun Bangladesh, mereka akan mula menyukainya dan seolah-olah kita pula yang menggatal ingin menguratnya. Justeru, gunalah bahasa Melayu yang betul untuk melakukan sebarang komunikasi dengan orang lain. Fikirkanlah sebelum mengeluarkan kata-kata.


Tuesday, February 22, 2011

SITUASI 32 : “BEKWOH”

Perhatikan petikan ayat di bawah ini :

Bekwoh’ merupakan satu perkataan daripada dialek Kelantan yang membawa maksud makan gulai, manakala di Terengganu membawa maksud kenduri. Sebenarnya, perkataan ‘bekwoh’ berasal daripada perkataan bahasa Inggeris ‘big workyang telah mengalami proses penukaran berdasarkan dialek Kelantan.




KOMEN CIKGU ENIE :

Istilah dialek berasal daripada perkataan Yunani iaitu ‘dialektos’ yang pada mulanya digunakan dalam hubungannya dengan keadaan bahasanya. Di Yunani, terdapat perbezaan- perbezaan kecil di dalam bahasa yang digunakan oleh pendukungnya masing-masing, tetapi sedemikian jauh hal tersebut tidak sampai menyebabkan mereka berasa mempunyai bahasa yang berbeza. Mengikut Mario A. Pei , dialek adalah variasi satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam satu-satu masyarakat bahasa. Dialek mempunyai bentuk tertentu yang dituturkan dalam kawasan tertentu dan berlainan daripada bentuk standard dari segi sebutan, tatabahasa atau penggunaan kata-kata tertentu, tetapi kelainan tersebut tidak begitu besar untuk dianggap sebagai satu bahasa yang lain. Faktor-faktor yang menimbulkan dialek terdiri daripada faktor alam, politik, penjajahan dan masa. Demikian pula halnya dengan ekonomi, cara hidup dan sebagainya. Ini tercermin juga di dalam dialek yang bersangkutan. Di Semanjung Malaysia contohnya, terdapat keadaan semula jadi yang terdiri daripada bukit-bukau, hutan rimba dan sungai yang merupakan rintangan-rintangan kepada perhubungan di antara penduduk-penduduknya, faktor politik telah membahagikan negara ini kepada unit-unit politik yang lebih kecil, menghasilkan negeri-negeri Melayu Semenanjung Malaysia. Dialek- dialek yang berdasarkan tempat seperti itu dipanggil dialek setempat. Dialek-dialek setempat di Semenanjung Malaysia sebenarnya adalah variasi daripada bahasa Melayu.

Monday, February 21, 2011

SITUASI 31 : “MAHA”

Perhatikan penggunaan perkataan di bawah ini.



KOMEN CIKGU ENIE :

Jika anda perasan, perkataan siswa dan siswa telah ditambah awalan maha menjadi “mahasiswa’ dan “mahasisiwi”. Pada pendapat saya perkataan maha tidak sesuai digunakan dan digandingkan bersama perkataaan siswa dan siswi. Hal ini disebabkan oleh imbuhan awalan maha- adalah sesuai untuk tatatingkat yang tertinggi. Walhal, pelajar yang disebut siswa dan siswi masih ditahap bawah lagi iaitu tahap sedang menuntut ilmu. Lainlah jika perkataan maha itu digandingkan bersama perkataan guru menjadi “mahaguru” dan juga untuk Allah yang menunjukkan kebesarannya iaitu “mahabesar”.


Sunday, February 20, 2011

SITUASI 30 : MARI BELAJAR BAHASA JAWA SIRI 3

Dalam siri ketiga ini, saya akan mengajar dan berkongsi ilmu dengan anda semua. Ada juga perkataan yang saya sendiri baru belajar daripada nenek saya. Di sini saya telah tuliskan perkataan berlawanan ataupun disebut ‘antonim’.

La-nang (lelaki) = We-dhok (perempuan)

La-nang (suami) = Bo-jho (isteri)

Ka-kang (abang) = Ba'yu (kakak)

Tu-wek (tua) = Nom (muda)

Ge-dhi (besar) = Ci-lik (kecil)

Le-mu (gemuk) = Ci-lik (kurus)

Dho-wo (panjang) = Cen-dek (pendek)

Me-tu (keluar) = Me-le-bhu (masuk)

Lu-ngo (bertolak) = Te-kan (sampai/tiba)

Ma-reng (pergi) = Te-ko (datang)

Tu-ru (tidur) = Ta-ngi (jaga/bangun)

Ce-pak (dekat) = A-dhoh (jauh)

Me-la-ku (gerak/jalan) = Man-dek (berhenti)

A-tos (keras) = le-mes (lembik)

Wa-ras (sihat) = me-riang (sakit/demam)

Tu-ku (beli) = A-dhol (jual)

O-kheh (banyak) = si-tik (sikit)

Je-ru (dalam) = ce-thek (cetek)

Ke-lep (tenggelam) = ke-mam-pul (timbul)

A-wan (siang) = be-ngi (malam)

I-suk (pagi) = so-re (petang)

KOMEN CIKGU ENIE :

Di dalam bahasa Jawa juga terdapat perkataan ‘antonim’, jadi tidak salah untuk kita mempelajarinya. Mungkin suatu hari nanti bahasa Jawa ini akan pupus ditelan zaman jika tidak dipelajari ileh anak muda yang ada sekarang.

Saturday, February 19, 2011

SITUASI 29 : MARI BELAJAR BAHASA JAWA SIRI 2

Dalam siri kedua ini, saya akan mengajar anda menyebut nama-nama hari di dalam bahasa Jawa.

Di-nho (hari)

Se-nen (Isnin)

Se-lo-so (Selasa)

Re-bho (Rabu)

Ke-myes (Khamis)

Je-muah (Jumaat)

Se-tu (Sabtu)

Nga-had (Ahad)

Walaupun sebutannya hampir serupa, tetapi agak sukar untuk menyebutnya sekiranya kita tidak biasa bercakap Jawa.


KOMEN CIKGU ENIE :

Belajar dan terus belajar supaya mudah untuk kita berkomunikasi.

Friday, February 18, 2011

SITUASI 28 : MARI BELAJAR BAHASA JAWA SIRI 1

Assalamualaikum kepada semua yang membaca blog saya. Pada hari ini saya akan mengajar anda semua mempelajari bahasa Jawa. Situasi kali ini saya akan mengajar anda semua mengenali nombor 1, 2, 3 dan seterusnya di dalam bahasa Jawa.

1. Si-ji - satu

2. Lo-ro - dua

3. Te-lu - tiga

4. Pa-pat - empat

5. Li-mo - lima

6. Nenem - enam

7. Pi-tu - tujuh

8. Wo-lu - lapan

9. So-ngo - sembilan

10. Sploh - sepuluh


Untuk kiraan angka "belas" pula, disebut begini :

Sblas (11)

rong-las (12)

telong-las (13)

patang-las (14)

limo-las (15)

nem-blas (16)

pitong-las (17)

wolong-las (18)

songo-las (19)


Bagi kiraan "puluh" pula, begini bunyinya :

Rong-ploh (20)

rong-ploh-siji (21) dan seterusnya mengikut sebutan asal nombor-nombor tadi.

Telong-ploh (30)

telong-ploh-siji (31)

Patang-ploh (40)

patang-ploh-siji (41)

Limang-ploh (50)

limang-ploh-siji (51)

Nem-ploh (60)

nem-ploh-siji (61)

Pitong-ploh (70)

pitong-ploh-siji (71)

Wolong-ploh (80)

wolong-ploh-siji (81)

Sa-ngang ploh (90)

sangang-ploh-siji (91)

Satus (100)

rong-atus (200),

Sewu (1,000)

rong-ewu (2,000)

telong-ewu (3,000)

Sampai sini sahaja pelajaran kita pada hari ini. Sekian, terima kasih.


KOMEN CIKGU ENIE :

Pelajarilah sebanyak bahasa untuk pengetahuan anda semua.

Thursday, February 17, 2011

SITUASI 27 : MARI BELAJAR BAHASA MELAYU LOGHAT JOHOR

Sudah 26 situasi yang ada di dalam blog saya ini. Hari ini saya telah betukar angin untuk mengajar anda semua mengenai loghat bahasa di Johor. Mari kita belajar bersama-sama. Umumnya kita sudah tahu, bahawa orang Johor memang peramah, suka bersembang, senang dapat kawan, tidak sombong dan juga tidak memilih kawan. Orang Johor sendiri tidak akan menyebut ‘Johor’ sebaliknya kami akan menyebut ‘Joho’ dan hilangkan sebutan ‘r’. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan kepada kami. Begitu juga dengan sebutan ‘Muar’ berganti kepada ‘Muo’. Mari kita dekati beberapa perkataan bahasa Melayu loghat Johor yang kadang kala pelik apabila kita mendengarnya :

1. Pegang (disebut pigang atau "pegang" - huruf E seperti menyebut enak")

2. Tarik (disebut terik)

3. Sedar (disebut sada)

4. Orang (disebut owang)

5. Cuci (orang Johor jarang sebut cuci tetapi basuh)

6. Almari (dipanggil gerobok atau gobok)

7. Selimut (dipanggil gebar, huruf E seperti menyebut emak)

8. Periuk (priuk atau piuk)

9. Suami (laki)

10. Isteri (bini)

11. Tandas (jamban)

12. Lucu (kelaka)

13. Gelak (ketawa)

14. Bersalin (beranak)

15. Berkhatan (bersunat)

16. Malu (segan)

Ini hanyalah sekadar contoh dan banyak lagi perkataan yang boleh ditemui jika kita bersembang dengan orang-orang Johor. Orang Johor tidak menggunakan bahasa Baku. Contohnya :

1. saya (saye)

2. puasa (puase)

3. raya (raye)

4. gembira (gembire)

5. belajar (belajo)

6. pagar (pago)

Orang Johor juga suka menambah bunyi “ek” dalam perbualan mereka. Perkataan “ek” lazimnya menggambarkan sesuatu keadaan yang terlalu atau paling seperti ayat-ayat ini :

1. Rumah dia jauh betul ek..?

2. Cantik ek... Bandar Joho sekarang ?

KOMEN CIKGU ENIE :

Tidak salah untuk kita mempelajari loghat bahasa negeri lain. Selain dapat mempelajari, kita juga akan dapat menggunakannya ketika berkomunikasi dengan seseorang itu.


Wednesday, February 16, 2011

SITUASI 26 : TALI GANTUNG

Pada minggu lepas, Kolej Ungku Omar (KUO) telah mengadakan karnival jualan yang berlangsung selama tiga hari. Saya telah ke sana untuk melihat-lihat jualan yang ada. Saya dan kawan saya telah tertarik untuk membeli hiasan nama dan digantungkan pada telefon bimbit. Semasa memilih-milih huruf, saya telah berbual dengan peniaga itu.Perhatikan dialog di bawah :

Saya : Akak, tali gantungnya mane?
Peniaga : Tali gantung! (dengan muka pelik)
Saya : Yelah... Tali gantung...
Peniaga : Dik, akak seram ni dik. Sebut-sebut tali gantung.
Saya : Owh. Akak silap faham ni. Tali gantung untuk hiasan nama ni la kak.
Peniaga : Owh...(sambil ketawa)




KOMEN CIKGU ENIE :

Penggunaan perkataan telah disalahtafsirkan dalam konteks ayat. Hal sebegini selalunya berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kita juga perlu berhati-hati untuk mengeluarkan kata-kata dan perlu sesuai dengan situasi dan juga keadaan persekitaran. erdapat dua maksud "tali gantung" di sini iaitu tali gantung yang digunakan untuk hukuman mati dan juga tali gantung atau tali penggantung untuk menyangkut sesuatu. Maksud ini akan berubah mengikut konteks ayat dan keadaan.


Tuesday, February 15, 2011

SITUASI 25 : KANAK-KANAK


Sekadar gambar hiasan.

Wajarkah kanak-kanak diajar bertutur di dalam bahasa Inggeris? Isu ini mula timbul di dalam benak saya apabila ramai kanak-kanak yang lebih gemar bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa ibunda kita bahasa Melayu. Perkara ini akan merunsingkan banyak pihak khususnya kepada guru yang mengajar mereka bahasa Melayu ketika di sekolah kelak.

KOMEN CIKGU ENIE :

Perkara sebegini seharusnya dipandang serius oleh semua orang. jika kita tidak menggunakan bahasa Melayu dari satu generasi kepada satu generasi yang lain, siap lagi yang mahu menggunakannya. Justeru, perkara ini perlu ditangani segera dan ibu bapa yang mempunyai anak kecil perlu pandai mendidik anak mereka. Bak kata pepatah "melentur buluh, biarlah dari rebungnya".

Monday, February 14, 2011

SITUASI 24 : SISTEM PANGGILAN KELUARGA MELAYU

Setiap masyarakat pasti mempunyai cara memanggil dan menyapa untuk berinteraksi dengan individu lain. Cara tersebut dapat diklasifikasikan sebagai ‘sistem panggilan’ yang merujuk kepada penggunaan kata ganti nama seseorang. Sistem panggilan tersebut memiliki pola dan tatacara tersendiri. Fenomena yang berkaitan dengan kata panggilan dan kepentingan berbahasa bukan sahaja wujud dalam bahasa Melayu tetapi juga dalam kalangan semua bahasa di dunia. Pola ataupun tatacara panggilan tersebut boleh didapati dalam bentuk kompleks ataupun mudah dengan amalan dan tatacara yang tersendiri. Dalam konteks keluarga pula, bagi masyarakat Malaysia, khususnya Melayu, panggillan dalam keluarga telah wujud sekian lama. Panggilan tersebut dicipta oleh nenek moyang mereka dan diperturunkan generasi demi generasi. Walau bagaimanapun, perbezaan susun lapis sistem sosial masyarakat dan kepelbagaian negeri yang ada telah menyebabkan variasi dalam penggunaan kata panggilan.

Contoh panggilan dalam keluarga :
  • Ayah, abah, papa serta daddy.
  • Ibu, emak serta mama
  • Kakak
  • Abang
  • Adik
  • Pak Long, Mak Long, Pak Ngah serta Pak Ngah

KOMEN CIKGU ENIE :

Umumnya, orang Melayu mempunyai cara tersendiri untuk memanggil ahli keluarga mereka semasa berkomunikasi. Kepelbagaian cara panggilan yang digunakan seperti kata panggilan umum, nama, urutan panggilan tradisi dan sebagainya merupakan antara cara yang digunakan untuk menyapa seseorang. Walau bagaimanapun tidak dinafikan telah wujud pertambahan kata panggilan keluarga berikutan pengaruh yang diterima daripada Barat dan Arab. Walaupun demikian setiap panggilan yang digunakan tersebut masih menonjolkan tujuan yang sama iaitu untuk menghormati orang yang disapa dari aspek kedudukan dan umurnya. Di samping itu, sistem panggilan tradisi yang diamalkan oleh orang Melayu sebenarnya cuba menyampaikan susr galur keluarga kepada generasi baru agar tidak dilupakan. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab setiap orang Melayu unutk terus mengekalkan panggilan tradisi tersebut bagi mengelakkannya pupus dan dilupakan.