Saturday, January 29, 2011

SITUASI 10 : PAPAN TANDA

Cuti selama seminggu telah diberikan oleh pihak universiti sempena sambutan Hari Raya Cina dan cuti semester. Saya tidak melepaskan peluang ini untuk pulang ke kampung halaman. Semasa di dalam perjalanan pulang, saya telah terpandang papan tanda ini. Sila perhatikan papan tanda di bawah ini.

KOMEN CIKGU ENIE :

Mesej sebenar yang dimaksudkan oleh papan tanda ini adalah untuk meminta pemandu mengurangkan kelajuan kenderaan mereka kerana 200 meter dari situ terdapat sekolah dan kemungkinan kanak-kanak sekolah melintas jalan. Jika diperhatikan terdapat dua kesalahan bahasa pada papan tanda tersebut.

  1. 1. Perkataan “kurangkan” harus diikuti kata nama terbitan “kelajuan” bukannya kata sifat “laju”.
  2. 2. Kata sendi “di” seharusnya diikuti kata “hadapan” bukan perkataan “meter”.

Oleh itu, pada papan tanda itu harus diperbetulkan dan ditulis sebagai “KURANGKAN KELAJUAN, 200 METER DIHADAPAN KANAK-KANAK MELINTAS JALAN”

Thursday, January 27, 2011

SITUASI 9 : DI KEDAI MAKAN

Kebelakangan ini saya selalu menemui kesalahan di dalam menu makanan. Mungkin serasi dengan jiwa dan tabiat saya yang suka makan. Kali ini saya temui satu lagi kesalahan penggunaan bahasa di dalam menu makanan di salah sebuah kedai berhampiran dengan kolej kediaman saya. Perhatikan gambar di bawah, menu yang ditulis ialah “sayur goreng egg”. Pelik bukan?


KOMEN CIKGU ENIE :

Demi menarik minat pelanggan, mereka sanggup menggunakan percampuran bahasa di antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Saya berasa pelik kerana sudah banyak kali menjumpai kesalahan seperti ini. Apabila dilihat kembali, perkara ini sudah menjadi sebati dalam jiwa orang Melayu khususnya. Bukan sahaja di dalam perbualan mereka menggunakan bahasa slanga, malah di dalam menu makanan juga digunakan. Hal ini tidak bersesuaian dengan tempat, walaupun untuk menarik minat pelanggan, mereka tidak sepatutnya menggunakan dua bahasa di dalam satu frasa.

Wednesday, January 26, 2011

SITUASI 8 : DI LAMAN SOSIAL FACEBOOK

Lewat malam semalam, saya sempat membuka laman sosial “Facebook” untuk berhubung dengan kawan saya. Banyak penggunaan ejaan perkataan yang disingkatkan telah saya jumpa. Contohnya perkataan yang dijumpai ialah :


PERKATAAN ASAL

PERKATAAN YANG DIRINGKASKAN

Tidak

Tak

Tetapi

Tp

Sudah

Dah

Nombor

No

Engkau

Kau


Terlalu banyak singkatan perkataan yang digunakan sehingga kita sebagai pembaca sudah lali dengan perkara ini.

Tekan gambar untuk melihat dengan lebih jelas.


KOMEN CIKGU ENIE :

Memang tidak dapat dinafikan masalah ini semakin berleluasa contohnya di dalam ayat, penggunaan sistem pesanan ringkas (SMS) dan banyak lagi. Dari sudut sosiolinguistiknya, hal seperti ini memang perlu diambil kira dan diberi penekanan untuk mengubahnya. Masalah ini perlu dibanteras dan kadang kala juga, pelajar-pelajar terikut-ikut menggunakan singkatan perkataan ketika menulis karangan. Guru di sekolah seharusnya memainkan peranan yang penting untuk membantu pelajar dalam menangani masalah ini.


Tuesday, January 25, 2011

SITUASI 7 : PAPAN TANDA

Masalah dalam penggunaan papan tanda kebanyakkannya mendatangkan kesalahan dari sudut morfologi. Sebagai contoh penggunaan kata sendi “di” dan juga “ke” harus diberi perhatian. Kita selalunya keliru untuk menggunakannya sama ada kedudukan kata sendi dengan kata selepasnya rapat atau jarak. Semasa saya bersiar-siar, saya telah menjumpai beberapa kesalahan ini. Contohnya seperti gamabar di bawah ini.


Contoh 1

Contoh 2

Salah : Penggunaan “di” di dalam perkataan “di larang” dan “ disebelah” pada papan tanda ini adalah salah.

KOMEN CIKGU ENIE :

Di dalam perkataan “di larang” sebagaimana di dalam contoh di atas, seharusnya dieja bercantum “dilarang”. “Dilarang” ialah bentuk pasif daripada kata melarang dan bukannya menunjukkan tempat.

Di dalam frasa “disebelah” pula seharusnya dieja berpisah iaitu “di sebelah” bukan “disebelah”. Perkataan sebelah menunjukkan sesuatu tempat, justeru perkataan itu perlu dieja secara terpisah.

Kejadian-kejadian ini kebanyakkannya berlaku di persekitaran kita. Justeru, saya menyarankan diri saya sendiri dan juga anda yang lain untuk bersama-sama mengambil berat mengenai masalah yang berlaku ini.

Monday, January 24, 2011

SITUASI 6 : IKLAN SONY

Saya telah menjumpai satu kesalahan yang digunakan dalam bahasa laras iklan. Penggunaan kata yang dicampuradukkan di antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di dalam iklan semata-mata untuk menarik minat pelanggan. Di sini saya telah mengambil gambar sebagai bukti masalah ini dalam kalangan diri kita sendiri.


"Memang Power" yang terdapat di dalam iklan di atas seharusnya boleh ditukarkan kepada "Memang Berkuasa" atau "Memang Hebat"

KOMEN CIKGU ENIE :

Laras bahasa iklan juga harus dijaga. Walaupun dengan niat untuk menarik hati pelanggan, seseorang itu perlu betul penggunaan bahasanya. Pelanggan akan tetap tertarik dengan kualiti barang yang ingin dibelinya dan sekiranya lebih baik tiada percampuran dua bahasa di dalam satu frasa atau ayat. Tidak salah jika digunakan semua dalam bahasa Melayu seperti yang telah nyatakan di atas iaitu “Memang Berkuasa” atau pun “Memang Hebat”. Sebagai penutur bahasa Melayu, kita sewajarnya berbangga dengan bahasa ibunda kita dan berusaha mengangkasakan bahasa Melayu. Dalam mengatur strategi memartabatkan bahasa ibunda, media cetak memainkan peranan yang penting. Media cetak yang dimasudkan bolehlah menggolongkan akhbar, majalah, risalah, poster dan sebagainya yang sealiran. Media cetak juga merupakan salah satu bentuk komunikasi. Komunikasi telah mengalami revolusi dan dalam masa yang sama mencerminkan perkembangan media cetak.




Friday, January 21, 2011

SITUASI 5 : TAPAK JUALAN DI KOLEJ HARUN AMINURRASHID (KHAR)

Pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad yang lepas, saya telah menyewa tapak gerai bersama rakan saya untuk menjual selendang. Pelbagai gelagat pelanggan yang saya jumpa semasa saya menjaga gerai itu. Walaupun penat, saya telah memperoleh pengalaman baru dalam perniagaan secara kecil-kecilan. Saya bersungguh-sungguh melayan pelanggan dengan baik agar mereka membeli selendang yang dijual. Satu peristiwa yang saya sukar lupakan ialah mengenai seorang pelanggan yang berperangai tidak menghormati orang lain dan bersikap kurang ajar. Ikuti perbualannya di bawah :

Pelanggan : Kak, ni bape ringgit?

Penjual : 15 je. Tengok-tengoklah dulu.

Pelanggan : Mahalnya. Tak nak r.

Penjual : Kalau ambil dua, bolehlah kurang sikit.

Pelanggan : Owh. Macam tu. Takpelah. Tak berminat.(Terus beredar dengan memalingkan mukanya)

KOMEN CIKGU ENIE :

Sifat kesopanan dewasa ini sukar dicari, tidak tahu dimanakah silapnya. Mungkin didikan dan sifat seorang itu yang membuatkan sifat kesopanan dan tataterbit dalam perbualan semakin hilang dalam diri. Perhatikan sahaja dialog di atas. Dimanakah silapnya? Layanan yang elok diberikan kepada pelanggan, tetapi sikap pelanggan yang kurang sopan dengan mimik muka yang dilakukan akan menyakitkan hati orang lain. Pelanggan sepatutnya mengucapkan terima kasih bukan beredar begitu sahaja dengan mimik muka yang menyampah. Sikap ini perlu ditangkis dalam masyarakat agar kesopanan dan tatatertib dalam perbualan dapat berlaku dengan baik. Kesimpulan yang saya dapat buat di sini ialah semakin tinggi nilai kesopanan, semakin kurang rasa sakit hati. Fikir-fikirkanlah dan selamat beramal!!!


SEKADAR GAMBAR HIASAN



Inilah gerai kami secara kecil-kecilan.

Pesanan : Sekiranya anda berminat untuk membeli segala jenis selendang, boleh hubungi saya. Sementara stok masih ada. Sekadar iklan. Terima kasih.

Thursday, January 20, 2011

SITUASI 4 : DI DALAM BAS

Perbualan di antara dua orang rakan mengenai lagu yang berkumandang di radio ketika mereka di dalam bas. Ikuti perbualan mereka di bawah :

Pelajar 1 : Wey, ko dengar lagu ni. Bedekah siak.

Pelajar 2 : Tahu takpe! Hahahaha…

Pelajar 1 : Sape yang buat lagu ni? Lirik cam bodoh-bodoh pon jadi lagu ke? Sengal la.

Pelajar 2 : Ala, lagu zaman dulu-dulu ni. Memang sengal la.

Mereka mula ketawa terbahak-bahak seperti merendah-rendahkan lagu itu. Mungkin bagi mereka lagu melayu klasik tidak sedap di dengar. Walhal, penggunaan diksi dan metafora yang digunakan sangat baik berbanding dengan lagu pada hari ini.

KOMEN CIKGU ENIE:

Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan pelajar universiti sudah menjadi suatu kebiasaan yang sukar ditangkis. Masalah ini perlu diselesaikan agar perkataan demi perkataan yang keluar dari mulut seorang pelajar adalah baik dan sopan. Contohnya ‘bedekah siak’, perkataan ini seolah-olah merendahkan lagi martabat kita sebagai seorang pelajar universiti. Selain itu, sikap mengejek atau merendah-rendahkan lagu melayu klasik tidak harus dipamerkan. Hal ini terjadi di dalam bas, justeru kebanyakkan pelajar ada di dalam bas itu. Tidak mustahil jika perbualan ini didengari oleh ramai orang. Sebagai konteks diri seorang pelajar, kita perlulah berhati-hati dalam penggunaan bahasa.

Wednesday, January 19, 2011

SITUASI 3 : DI KEDAI MAKAN

Kelmarin, saya dan kawan saya telah pergi ke sebuah kedai untuk menikmati makan malam. Perkara yang kami temui ketika ingin memesan makanan ialah menu minuman yang sangat menarik dan ingin saya kongsi bersama anda semua. Mungkin hal ini seperti perkara yang lucu, tetapi apabila difikirkan balik, perkara ini akan menjadi buruk sekiranya dibiarkan.




KOMEN CIKGU ENIE:

Menu di atas sekiranya anda teliti, anda akan terkejut dengan nama menu minuman itu. Menu minuman itu ialah :

  1. Milo Dinasaur
  2. Milo Godzilla

Penggunaan nama haiwan dimasukkan di dalam nama minuman adalah kurang sedap didengar. Walaupun nampak lucu, tetapi tidak elok sekiranyna penggunaan bahasa yang digunakan untuk minuman dicampur dengan nama haiwan. Maksud yang ingin disampaikan oleh pemilik kedai dapat disampaikan kepada pelanggan, mungkin nama haiwan itu dapat menunjukkan lagi bahawa milo itu bercawan besar. Analogi haiwan yang digunakan adalah untuk menggambarkan saiz cawan itu bersamaan saiz haiwan yang dimaksudkan. Seharusnya, pemilik kedai perlu berhati-hati dalam pemilihan bahasa untuk sesuatu nama yang melibatkan makanan mahu pun minuman.

Tuesday, January 18, 2011

SITUASI 2 : DI KLINIK

Pada hari isnin yang lalu, saya telah pergi ke klinik kerana masalah kesihatan. Sementara menunggu giliran saya dipanggil, saya telah duduk di ruangan menunggu. Semasa menunggu saya terkejut apabila terdengar suara sapaan yang kuat di belakang saya.

Pelajar 1 : Woi, kau! (sambil tangannya menepuk bahu rakannya dengan kuat.)

Pelajar 2 : Oit…

Pelajar 1 : Lame tak jumpe kau. Kau tak sihat ey?

Pelajar 2 : A’ah. Aku demam sikit.

Perbualan mereka kuat dan boleh didengari sepatah demi sepatah perkataan yang keluar dari mulutnya.

KOMEN CIKGU ENIE:

Sapaan yang digunakan oleh pelajar adalah tidak sopan. Sepatutnya, adab sopan semasa menegur kawan perlulah diterapkan di dalam diri. Sapaan yang digunakan nampak kasar dan biadap. Penggunaan kata sapaan seperti ‘hai’ atau pun ucapan salam amatlah perlu sebelum memulakan perbualan. Hal ini perlu dihapuskan dan perlu diganti dengan sapaan yang sopan dan santun yang tinggi.

Monday, January 17, 2011

SITUASI 1 : TAMAN UNIVERSITI

PENGGUNAAN EJAAN YANG SALAH DAN PERCAMPURAN ANTARA BAHASA MELAYU DAN BAHASA INGGERIS.




KOMEN CIKGU ENIE:

Penggunaan kata dalam ayat “CUTI STADY WEEK & RAYA HAJI” seperti ada yang tidak kena. Percampuran antara penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di dalam ayat tidak seharusnya digunakan. Selain itu juga penggunaan ejaan “stady” yang salah digunakan dapat menunjukkan lagi kelemahan orang yang menulis iklan ini. Penggunaan bahasa Inggeris dalam ejaan “stady” seharusnya ialah “study”. Rujukan kamus perlulah dilakukan untuk memastikan ejaan yang digunakan betul dan tepat. Terdapat dua kesalahan yang terdapat di dalam iklan ini. Walaupun masyarakat sekeliling dapat memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penulis, tetapi konteks penggunaan ejaan dan bahasa yang digunakan adalah tidak betul. Seharusnya, sebelum iklan itu ditampal, penulis perlu meminta pandangan orang lain mengenai penggunaan bahasa dan penggunaan ejaannya.

Tuesday, January 11, 2011

PEMBUKA BICARA

Ucapan selamat kepada semua. Blog ini direka khas untuk subjek Major Pendidikan Bahasa Melayu (AT05) iaitu subjek Sosiolinguistik Melayu (BML 3073). Blog ini dikira sebagai tugasan individu yang merangkumi 20% daripada keseluruhan tugasan lain. Blog ini perlu di kemas kini selalu selama 8 minggu (5 hari seminggu) dan jumlahnya adalah 40 hari. Kandungan blog ini adalah tentang penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat sekeliling kita. Blog ini juga dianggap sebagai diari yang berguna kepada diri saya dan juga orang lain. Diharap bantuan dan sokongan dari anda semua dapatlah saya menyiapkan tugasan diari ini selalma 8 minggu.


Ikhlas dari,
Nur Syazwani bt Amir